Wednesday, June 24, 2009

Sejarah Ringkas Imam Nawawi


Sejarah ringkas peribadi Imam Nawawi

Namanya: Ialah Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syirfu al-Nawawi. Lahir di Damsyiq, Syam pada bulan Muharram tahun 631 Hijrah. Menghafaz Quran sejak dari kecil. Setiap hari beliau mempelajari sebanyak 12 mata pelajaran dalam berbagai jurusan ilmu agama. Antara karangannya yang terkenal: Syarah Sahih Muslim, Riyadus Sàlìhin dll.

Kehidupannya sehari-hari adalah sekadar memelihara kesihatan badannya. Makan minumnya sehari semalam hanya sekali. Pendik kata beliau tidak sangat menghiraukan soal makanan, pakaian serta perhiasan, apa saja yang ada memadailah.

Keperibadiannya

Penuh dgn taqwa dgn erti kata sepenuhnya, wara'nya dan kebersihan jiwanya. Sebagai seorang ulama amatlah suka ditemui. Ada riwayat mengatakan keengganannya memakan sebarang jenis buah-buahan bukan sahaja kerana mengelak dari mengantuk tapi adalah juga kerana buah-buahan di Damsyiq waktu itu dianggapnya lebih banyak mengandungi shubhat.

Pengusirannya

Imam Nawawi pernah diusir dari Syam akibat fatwanya yang tidak menyenangkan Sultan Al-Malik Al-Zahir [dari kerajaan Mamalik (hamba sahaja). Dari kerajaan Bani Ayyub]. Imam Nawawi bukanlah sebagai seorang ulama yang mencari kebenaran untuk dirinya sahaja atau ulama yang merasa bahagia dengan ketinggian ilmunya, tetapi tidak berani menghadapi masyarakat sekeliling dengan petunjuk dan nasihatnya. Imam Nawawi bukanlah dari golongan ulama yang mencari keuntungan dengan ilmu, dengan membiarkan masyarakat ummat didalam kejahilan dan asyik dalam kehonaran.

Beliau memimpin umat, bukan umat memimpin beliau. Beliau memfatwakan kebenaran tidak pandang siapa pun juga, walaupun akibatnya merugikan kedudukannya. Kerana inilah tugas ulama yang dikatakan warithatul anbiyá, iaitu mempusakai ajaran nabi dan menyampaikannya.

Imam Nawawi selamanya hidupnya telah banyak menulis dan mengarang, mengajar dan menasihat. Terkemuka kerana kebenarannya, dikagumi kerana kejujurannya. Islam menurut falsafahnya adalah seluruh hidup, tidak bercerai dan berpisah dari hidup. Kerana ini, beliau selalu menyampaikan nasihat secara peribadi dan menulis beberapa pucuk surat kepada baginda Sultan Al-Malik Al-Zahir.

Menurut riwayat, beliau pernah menulis kepada baginda menerangkan keadaan negeri Syam pada masa itu, yang disifatkan sebagai amat mengancamkan keselamatan rakyat akibat kesempitan kehidupan dan melambung tinggi harga barang-barang keperluan. Diterangkan pendapat dan pandangannya secara ikhlas untuk segera bertindak bagi mengatasi keadaan itu. Tapi amat sayang! Tulisannya yang ikhlas itu tidak dinilai baginda, malah dipandangnya beliau seorang ulama yang suka mencampuri urusannya dan kerana itu beliau dianggap seorang yang tidak diingini.

Sikap baginda itu tidak mencemaskan beliau kerana hidupnya tidak mengharapkan sebarang kurnia dari baginda. Apa yang terjadi akibat fatwanya adalah kerana sudah sewajarnya, kerana kebenaran dengan kebatilan adalah dua hal yang bertentangan.

FATWA IMAM NAWAWI YANG MENGGEMPARKAN

Menurut riwayat bahawa apabila Sultan Al-Malik Al-Zahir tlh mengadakan persiapan perang utk memerangi orang-orang Tatar (Monggol) lalu digunakanlah fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh. Ulama fiqh negeri Syam tlh menulis menerangkan fatwa tersebut, tetapi baginda belum merasa senang hati kalau Imam Nawawi tidak memberi fatwanya.

Baginda menjemput Imam Nawawi dan meminta beliau memberi fatwanya bersama ulama fiqh mengenai pengambilan harta rakyat untuk peperangan. Beliau berterus terang tidak mahu memberi fatwanya dan enggan. Baginda bertanya: "Apakah sebabnya beliau enggan?". Lalu beliau memberi penjelasan kpd baginda menerangkan seperti berikut!

"Ampun tuanku! Adalah patik sememangnya mengetahui dgn sesungguhnya bahawa tuanku adalah dahulunya seorang tawanan tidak ada sebarang harta benda. Tetapi pertolongan Allah tlh dilimpahkan kurnianya kpd tuanku dgn dijadikan tuanku seorang raja. Ampun tuanku! Adalah patik telah mendengar bahawa tuanku ada memiliki seribu orang hamba, tiap seorang mempunyai beberapa ketul emas. Manakala 200 orang khadam wanita milik tuanku, masing-masing mempunyai barang-barang perhiasan yang bernilai. Andaikata tuanku sendirian membelanjakan kesemua itu untuk keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka patik bersedia memberikan fatwa untuk membenarkan tuanku mengambil harta rakyat."

Kesimpulannya, beliau berfatwa tidak membenar baginda mengambil harta rakyat selama kekayaannya sendiri masih dapat dipergunakan . Baginda Al-Malik Al-Zahir murka kepadanya kerana fatwanya yang amat menggemparkan sehingga baginda mengeluarkan perintah supaya beliau segera keluar dari Damsyiq.

Imam Nawawi terima saja perintah pengusirannya itu dengan girang hati. Lalu beliau pun keluar ke Nawa. Para ulama Syam telah berusaha menjemput beliau balik semula ke Damsyiq, tetapi beliau enggan sambil berkata: 'Saya tidak akan balik ke Damsyiq selama baginda masih berkuasa."

Kisah ini memberikan kepada kita suatu gambaran yang jelas tentang keberanian jiwa seorang ulama yang tidak mahu mengejar pangkat dan kedudukan dan tidak rela mengorbankan kebenaran hukum kepentingan seorang dengan merugikan orang ramai.

Keberanian Imam Nawawi menegakan suatu kebenaran adalah sebaik-baik contoh kepada ulama, dimana mereka dikehendaki untuk mengatakan sesuatu yang benar menurut hukum walau kepada sesiapa pun jugadan mereka tidak boleh bersifat pengecut dan pengkhianat kebenaran semata-mata dipengaruhi seribu satu macam kebimbangan dan ketakutan.

Umat Islam kini memerlukan kepada ulama yang berjiwa besar seperti Imam Nawawi dan kita berharap semuga ada hendaknya mereka itu dalam kalangan masyarakat Islam untuk kebaikan agama dan umat.

Wafat Imam Nawawi pada 24 Rejab 676 Hijrah. Beliau telah berjaya menyumbangkan tenaga fikiran dan ilmunya kepada agama Islam dan umatnya.

0 comments: