Islam sebagai cara hidup fitrah yang telah Allah sempurnakan ciri-ciri dan kemampuannya, turut menggariskan perayaan bagi umatnya. Sebagai umat Islam, perayaan turut menjadi salah satu cabang hidup yang mesti kita tempuhi mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Hadith Abu Daud yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A secara jelas menegaskan bahawa Allah SWT telah memperuntukkan bagi umat Islam dua perayaan bagi menggantikan segala bentuk keraian yang diwarisi dari zaman jahiliah dan sumber yang tidak Islam. Dua perayaan berkenaan adalah Aidilfitri dan Aidiladha. Inilah dua hari yang bukan sahaja menjadi hari perayaan, bahkan Allah SWT menuntut kita agar tidak alpa dari me”raya”kannya. Puasa yang menjadi ibadah yang dipuji Allah, diharamkan pada dua hari berkenaan supaya umat Islam menyambutnya dengan sempurna dan tidak berlebih-lebihan di dalam ibadah sehingga ia “˜disangka taqwa”. Akan tetapi, dengan pertemuan Islam bersama bangsa lain, dan nilai iman yang corot, umat Islam mula meniru amalan yang tiada kena mengena dengan agamanya. Apatah lagi di dalam keadaan mereka yang bermastautin di negara bukan Muslim.
Di suatu ketika, seorang sahabat Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang dahulunya seorang Nasrani, iaitu ‘Adi bin Hatim radhiyallaahu ‘anhu, bertanya kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
Siapakah yang dimaksudkan dengan al-maghdhoob ‘alayhim (golongan yang dimurkai Allah) seperti yang tersebut di dalam surah al-Fatihah? Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab, “mereka itu adalah Yahudi”. Adi bertanya lagi: siapakah pula yang dimaksudkan sebagai al-dhaalloon (golongan yang sesat) itu? Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab, “mereka itu adalah Nasrani”. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ahmad serta dinilaikan sebagai sahih.
Biar pun pada aqidah kepercayaan kaum Yahudi itu ada sesatnya, namun mereka lebih menonjol sebagai golongan yang banyak menimbulkan kerosakan yang mengundang murka Allah. Begitu juga dengan kaum Nasrani, walaupun terdapat juga perlakuan mereka yang merosakkan dan mencetuskan murka Allah, namun mereka lebih menonjol sebagai kaum yang mendatangkan kepercayaan yang sesat dan mengelirukan. Justeru Yahudi disimbolkan sebagai KAUM YANG DIMURKAI-NYA, manakala kaum Nasrani pula dilabelkan sebagai KAUM YANG SESAT.
Setiap hari, seorang Muslim bersolat dan membaca Surah al-Fatihah berulang-ulang kali. Pengulangan ini merupakan sebab mengapa surah al-Fatihah dinamakan juga sebagai al-Sab’u al-Mathaani yang bermaksud 7 ayat yang diulang-ulang. Pengulangan berlaku dalam kehidupan kita apabila ia merupakan sesuatu yang amat penting, teras dan dasar yang manusia tidak boleh hidup tanpanya. Kerana itu kita diajar, dipaksa malah mungkin dirotan agar mengulang-ulang hafalan kita terhadap sifir di dalam Matematik, kerana sifir itu adalah teras dan dasar ilmu pengetahuan yang kita sulit hidup tanpanya.
Di dalam surah al-Fatihah yang diulang-ulang sebanyak 17 kali sehari itu, kita berulang kali merayu kepada Allah Subhanahu wa Ta’aala agar mengekalkan diri di dalam petunjuk-Nya, hidup sebagai sebahagian daripada alladheena an’amta ‘alayhim (golongan yang Engkau kurniakan nikmat ke atas diri mereka). Golongan ini diterangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam surah al-Nisaa’ ayat 69 sebagai:
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di Syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, Iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)” [al-Nisaa’ 4: 69]
Berusaha untuk menjadi kaum yang beroleh rahmat dan karunia nikmat dari Allah, tidak sempurna jika sekadar mengejar Islam, tanpa menolak dan menghindarkan diri daripada lawan Islam iaitu Jahilillah. Sebagaimana kita berulang kali memohon hidayah-Nya, kita juga berulangkali mengisytiharkan penolakan kita kepada cara hidup kaum yang dimurkai Allah dan cara hidup kaum yang sesat dan bingung kepercayaannya. Itulah intipati erti jati diri seorang Muslim. Tersendiri pada kepercayaan dan cara hidupnya. Istimewa dan unik mengatasi kaum yang bersalut murka dan dusta.
(Hadith riwayat al-Baihaqi dan dinilaikan sebagai sahih oleh al-Albani)
Kemuliaan yang bukan sebagai sebuah hadiah pemberian, tapi ganjaran atas mujahadah dan pengorbanan kita mencari kemuliaan itu. “Islam itu tinggi dan tiada sesuatu yang lebih tinggi daripadanya” (Hadith riwayat al-Baihaqi dan dinilaikan sebagai sahih oleh al-Albani)
Ketinggian Islam itu bukanlah terletak pada nasab keturunan, bersikap hidung tinggi merasakan diri sebagai kaum pilihan Tuhan, tanpa sebarang nilai dan pengorbanan. Tingginya Islam adalah pada keluhuran prinsipnya dalam mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya, serta hubungan manusia sesama manusia. Islam menjelaskan dengan terang dan nyata akan erti hablun Minallaah, Islam menghuraikan Aqidah dengan luhur dan jelas sandaran. Islam juga memuliakan manusia dengan meninggikan keistimewaan manusia iaitu pada akal fikirannya. Justeru tidak tahyul dan pemaksaan kepercayaan kepada kita dalam melengkapkan diri sebagai seorang Muslim. Semuanya jelas dan luhur, serta mampu dipercayai oleh seorang manusia dan upaya dirinya.
Itulah Islam.
Bukan sahaja memurnikan jalan berTuhan dalam kehidupan, Islam juga mengatur hubungan manusia sesama manusia dengan sebaiknya. Islam menganjurkan perbuatan baik dan perkongsian manfaat sesama manusia, memuliakan keadilan, mengharam serta memerangi kezaliman dan penindasan.
Itulah Islam!
“Barangsiapa yang meniru atau berkumpul meramaikan sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka”
Para kekasih dan teman akrab, pada hari itu, akan saling menjadi musuh di antara satu sama lain, kecuali mereka yang bertaqwa” [al-Dzukhruf 43: 67]
Para kekasih yang berkasih dalam belenggu dosa, kasihnya hanya hiasan nafsu di dunia. Di akhirat kelak, tatkala para kekasih ini berdepan dengan keputusan Allah ke atas mereka, setiap seorang akan bermusuhan dengan orang yang pernah dikasihinya, kerana masing-masing mahu menyelamatkan diri. Hanya yang bertaqwa sahaja beroleh jemputan berikut:
(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan” [al-Dzukhruf 43 : 68-4-70]
Syaikhul Islam Ibnu Taymiah menulis di dalam kitabnya Iqtidha al-Sirat al-Mustaqeem (jilid 1, muka surat 470) menyebut, “Terdapat beberapa noktah penting yang mesti diberi perhatian apabila kita membincangkan tentang perayaan dan hari kebesaran golongan bukan Islam. Pertama; perayaan, hari kebesaran dan amalan adalah peraturan, undang-undang dan cara hidup dalam konteks yang luas. Allah SWT menyebut di dalam Al-Quran, “Bagi setiap umat itu telah Kami jadikan bagi mereka amalan yang mereka ikuti.” (Al-Hajj: 67) .
Tiada bezanya menyertai mereka di dalam perayaan dengan meyertai mereka di dalam amalan-amalan mereka yang lain. Bersetuju dengan perayaan mereka, adalah merupakan persetujuan ke atas perkara kufur. Bersetuju dengan mana-mana aspek kecil kepercayaan mereka adalah sama dengan kepercayaan terhadap cabang kufur. Malah, hari kebesaran (Holiday) dan perayaan salah satu kaedah utama yang membezakan adat dan undang-undang di antara satu kaum dengan kaum yang lain. Ia juga merupakan amalan yang paling menonjol bagi satu-satu bangsa. Redha dan bersetuju dengan perayaan itu adalah persetujuan terhadap perbuatan kufur paling khusus yang menjadi simbol bagi amalan dan cara hidup mereka. Tidak syak lagi, persetujuan seperti itu atau meletakkan diri pada ikutan terhadap situasi sedemikian rupa, hanya merebakkan kekufuran.”
Ini merupakan sedutan daripada kenyataan Syaikhul Islam Ibnu Taymiah yang cuba untuk memahamkan kita bahawa pesta-pesta dan sempena yang terhadap di sekeliling kita ini adalah simbol kepada cara hidup golongan bukan Islam. Tidak timbul soal sekadar hendak berseronok atau belajar bersosial, jika yang dilakukan itu adalah cabang redha kepada kufur yang hanya menatijahkan kemurkaan Allah SWT.
Lanjutan hal tersebut, para Ulama juga telah menegaskan bahawa perbuatan menyampaikan tahniah kepada golongan bukan Islam sempena hari kebesaran dan perayaan mereka, adalah sesuatu yang dilarang. Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya Ahkam Ahl al-Dhimma (jilid 1, muka surat 205) menulis, ” Memberikan tahniah pada perayaan-perayaan tertentu yang dikhususkan kepada bukan Muslim dengan menyebut “Blessed holiday for you” atau apa-apa yang semakna dengannya, adalah dianggap tidak harus, pada persetujuan para Ulama. Walaupun seseorang itu mengucapkan tahniah di dalam keadaan bersih daripada mana-mana aspek kufur, ia tetap dianggap terlarang kerana tahniah itu adalah ucapan kita ke atas dosa-dosa besar seperti minum arak, berzina dan lain-lain perbuatan keji yang menjadi intipati perayaan tersebut. Ramai di kalangan mereka yang tidak begitu menjaga agama melakukan perbuatan seperti ini (mengucapkan tahniah) di dalam keadaan mereka tidak mengetahui betapa besarnya kejahatan yang mereka lakukan. Barangsiapa yang mengucapkan tahniah kepada seseorang atas mana-mana dosa atau kekufuran yang dilakukannya, maka dia telah mendedahkan dirinya kepada siksaan dan kemurkaan Allah SWT.”
Ibnu al-Qayyim juga telah menyimpulkan di dalam satu bahagian kitabnya tentang pendapat para Ulama berkaitan dengan hal ini. (Ahkam Ahl al-Dhimma, jilid 2, muka surat 722). Antara yang disebut, “Adalah tidak dibenarkan bagi para Muslim membantu golongan bukan Islam di dalam sambutan perayaan-perayaan mereka atau menghadiri majlis-majlis mereka berdasarkan kepada persetujuan para Ulama. Para ahli Fiqh yang mengikut keempat-empat mazhab yang muktabar itu juga telah menegaskan secara terang dan nyata di dalam kitab-kitab mereka. Abu al-Qasim al-Tabari menulis, “Adalah tidak dibenarkan bagi para Muslim menghadiri pesta dan hari kebesaran golongan bukan Islam kerana ia adalah dari jenis kebatilan yang keji. Jika golongan yang baik bercampur gaul dengan golongan yang jahat tanpa sebarang usaha untuk menghentikan apa yang dilakukan oleh golongan yang jahat itu, maka jadilah mereka sebahagian daripada mereka yang merestui kekufuran dan berada di bawah pengaruhnya. Dan sesungguhnya kita takut terjatuh ke dalam kemurkaan Allah disebabkan oleh keramaian mereka itu.”
Sabda Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak (dhab) nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” - [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Setiap masa, suami tanyalah kepada isteri dan isteri tanyalah kepada suami, di manakah anak-anak kita. Jangan tidak lekatnya mereka di rumah itu, rupa-rupanya mereka sedang berbondong-bondong masuk ke lubang biawak Yahudi dan biawak Nasrani.
Ibn al-Qayyim juga menyatakan bahawa Ibn Al-Qasim tidak menyukai orang Islam memberikan hadiah kepada orang Kristian semasa perayaan mereka. Beliau menganggap perbuatan ini sebagai memberikan penghormatan kepada perayaan itu, dan membantu orang Kristian berkenaan berkekalan di dalam kekufurannya.
Al-Baihaqi yang merupakan ahli Hadith bermazhab Syafie, meriwayatkan dengan sanad yang sahih bahawa Abdullah ibn Umar R.A. menyebut “Barangsiapa yang tinggal di tanah air bukan Islam dan sama-sama menyambut perayaan-perayaan mereka serta berkelakuan seperti mereka sehingga dia mati, maka dia akan dibangkitkan bersama golongan Kuffar berkenaan pada hari Kiamat.”
Sesungguhnya kenyataan-kenyataan para Ulama ini menjadi amaran kepada diri kita agar tidak sewenang-wenangnya menelan segala yang ditemui di sini. Ada sesetengah kehidupan yang mana terdapat di tengah-tengah manusia yang hidupnya adalah pesta, gembira, joli sana dan joli sini tanpa menunggu hari dan masa yang tertentu. Oleh itu hendaklah kita berusaha memelihara diri dan Iman agar tidak mudah terkesan dengan perang psikologi 24/7 ini. Artikel ini tidak bermaksud untuk membincangkan tentang asal usul perayaan Valentine kerana kita boleh memperolehinya secara meluas menerusi internet.
Akan tetapi maksud perbincangan kita di sini adalah untuk mengingatkan diri tentang jati diri kita sebagai Muslim. Integrasi antara kaum dan rakan taulan tidak menuntut diri kita untuk sampai terheret kepada kemurkaan Allah SWT. Bahkan golongan bukan Islam juga tidak berhasrat untuk memberikan apa-apa manfaat kepada kita menerusi perayaan mereka melainkan ia akan berakhir dengan kita dan mereka, sama-sama terjerumus ke lembah yang hina. Cuma kita sebagai orang Islam yang sangat sensitif dengan soal harga diri dan Iman, membiarkan diri terjebak ke perbuatan-perbuatan imitasi buta itu hanya mencerminkan dangkal intelektual kalau tidak mampu disebut sampai ke dangkal Islam.
Jika benar kita mahu membuktikan kasih sayang, maka buktikanlah ia menerusi cara Islam yang halal, indah, penuh barakah dan tiada kesan sampingan. Tanpa perlu menunggu 14 Februari, berkahwin adalah Sunnah Nabi SAW, yang jika kita serius ke arah itu, susunkanlah agenda hidup ke arahnya dengan baik. Usahlah dibazirkan wang untuk membeli bunga ros, kad-kad ucapan, atau candle light dinner di restoran-restoran mahal, kerana semua itu adalah keindahan yang menjadi pagar-pagar kemurkaan dan neraka Allah SWT. Kumpulkan wang dengan baik, beli buku yang mengajar cara hidup rumah tangga Islam dan laluilah 14 Februari ini seperti kita melalui hari-hari yang lain, iaitu dengan mengulangkaji pelajaran, menghadiri majlis-majlis ilmu, beribadah dan berlumba-lumba mengejar kebaikan.
Semoga Allah mengurniakan kebaikan untuk kita semua.
Wallahu A'lam bi As-Sawaab.
*Sumber asal
0 comments:
Post a Comment