Showing posts with label Kesehatan dan Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesehatan dan Kesihatan. Show all posts

Tuesday, May 31, 2011

sunnah bersiwak


Islam memberikan sanjungan tinggi terhadap kebersihan, malah diangkat di kedudukan istimewa sehingga Nabi Muhammad s.a.w pernah menegaskan sebagai sebahagian daripada iman. Kebersihan dilihat melalui ibadat rutin harian seorang muslim yang bertitik tolak daripada amalan menyucikan diri melalui wuduk, kebersihan pakaian dan tempat ibadat. Nabi s.a.w menunjukkan isyarat penjagaan kebersihan merangkumi semua bidang, bermula dari tubuh badan baik rohani atau jasmani, sehingga pakaian, kediaman dan persekitaran, harus dipastikan bersih. Anggota luaran lebih-lebih lagi perlu diberikan perhatian dan dandanan kerana ia membentuk personaliti diri seseorang selain mengelak penyakit.

Saidatina Aishah r.a berkata yang bermaksud:

"Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah); memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja)."

(Hadis riwayat Muslim)

Antara yang diberikan penekanan ialah kebersihan mulut dan gigi, kerana Rasulullah s.a.w ada menyatakan dalam sabda bermaksud:

"Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka melambatkan solat Isyak dan bersugi (menggosok) gigi setiap kali mereka hendak melakukan solat."

(Hadis riwayat Muslim)

Membersihkan mulut dan gigi atau bersugi, dalam bahasa Arabnya disebut siwak, sangatlah dianjurkan Islam, bahkan baginda menyatakan:

"Bersiwak itu menyucikan mulut, diredai Tuhan dan dibenci syaitan."

Siwak merujuk kepada dua pengertian iaitu perbuatan menggosok gigi dan membersihkan mulut serta alat atau kayu yang digunakan untuk menggosok gigi, dipanggil kayu siwak. Nabi s.a.w sendiri dilaporkan membersihkan gigi, paling kurang dua kali sehari. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Omar:

"Nabi bersiwak (menggosok gigi) pada permulaan siang dan akhirnya."

Namun, kebiasaannya Nabi s.a.w menggosok gigi berulang kali setiap hari. Sehubungan dengan ini, Amir bin Rabiah melaporkan:

"Aku melihat nabi menggosok gigi (berulang-ulang kali) sehingga aku tidak mampu menghitung jumlahnya ketika baginda berpuasa."
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi)

Ulama terkenal Arab Saudi, Syeikh M S Al-Munajjid, berkata Imam Nawawi dilaporkan ada menyatakan ulama bersependapat penggunaan siwak adalah satu sunnah. Menurutnya, satu lagi daripada bukti yang menunjukkan pentingnya amalan itu apabila sesetengah ulama salaf (silam) seperti Ishaq ibn Rahawayh, berpendapat ia kewajipan.

Siwak menurut kesepakatan ulama yang paling baik dengan ranting pokok arak, kerana baunya harum, malah seratnya sangat berkesan membersihkan sisa makanan di celah gigi. Jika ranting pokok arak tidak diperoleh, tangkai daun pokok palma atau ranting pokok zaitun boleh digunakan. Jika bahan itu tidak diperoleh, mana-mana bentuk kayu yang baik untuk membersihkan dan tidak mencederakan gigi boleh digunakan untuk membersihkan mulut. Ini termasuklah penggunaan berus gigi moden.

Pembersihan gigi dan mulut menggunakan kayu atau ranting dari pohon arak (salvadora persica) berlaku sejak berkurun yang lalu, kerana ia kaya dengan serat dan khasiat bagi kesihatan mulut dan gigi. Justeru itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dilaporkan mempromosikannya bagi kegunaan pembersihan mulut. Kajian mendapati kayu sugi daripada pohon arak mempunyai kelebihan secara semula jadi. Penyelidikan Dr Otaybi dari Arab Saudimembuka era baru terhadap kajian kayu terbabit, apabila menemui kesan sangat positif terhadap sistem kekebalan badan. Malah, penyelidik lain mendapati ia mempunyai kesan baik bagi kesihatan terutama dalam proses antiketagihan perokok, sama ada untuk tujuan penyembuhan atau pencegahan, selain bahan antiseptik, astringen, pencuci dan dan fluorida (bahan penghalang kerosakan dan kereputan gigi).

Amalan membersihkan mulut dan gigi menurut ulama sangat dituntut. Waktu melakukan siwak, iaitu:

1. Ketika mahu berwuduk dan mengerjakan solat.

2. Apabila memasuki rumah dan bersama keluarga. Aishah ketika ditanya tindakan pertama dilakukan Nabi s.a.w apabila tiba di rumah, beliau berkata:

"Apabila baginda memasuki rumah, perkara pertama yang baginda lakukan ialah siwak."
(Hadis riwayat Muslim)

3. Apabila bangun dari tidur.

Huzaifah ibn Al-Yaman r.a menyatakan apabila Nabi s.a.w bangun pada waktu malam, baginda membersihkan mulut dengan siwak secara sempurna.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

4. Apabila bau mulut seseorang berubah, sama ada disebabkan makan makanan yang berbau atau tidak makan dan minum dalam tempoh yang lama.

5. Ketika ke masjid. Penggunaan siwak sebahagian daripada dandanan yang sangat digalakkan bagi muslim pada setiap kali mendirikan solat. Ini sesuai dengan firman Allah dalam ayat 31, dari surah Al-A'raf, maksudnya:

"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (sembahyang)."

6. Apabila membaca al-Quran dan mengikuti majlis tertentu khususnya majlis mengingati Allah.

Ulama bersependapat tiada salahnya menggunakan siwak pada siang hari apabila seseorang itu berpuasa, cuma mereka berbeza pada waktu tengah hari, dengan sesetengahnya mengatakan makruh. Di kalangan ulama juga ada perbezaan pendapat mengenai penggunaan tangan untuk bersiwak. Satu pendapat, iaitu majoriti ulama berpendapat lebih baik melakukannya dengan tangan kanan. Ini sesuai dengan hadis Aisyah r.a yang menyatakan:

"Nabi s.a.w gemar memulakan dengan yang kanan apabila memakai kasut, turun (dari untanya), apabila membersihkan diri dan dalam semua perkara."

Mereka juga menyatakan siwak adalah satu perkara daripada ibadat yang mendekatkan seseorang terhadap Allah, jadi tidak sepatutnya dilakukan dengan tangan kiri. Ulama lain berpendapat ia baik dilakukan dengan tangan kiri. Pendapat ini dikatakan daripada mazhab Imam Ahmad dan pandangan ini disokong Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah. Sesetengah ulama berpendapat, apabila seseorang menggunakan siwak dengan niat mengikuti sunnah, dia sepatutnya melakukan dengan tangan kanan dan jika untuk menghilangkan kekotoran, sepatutnya dengan tangan kiri.

Berdasarkan isyarat daripada al-Quran dan penegasan Nabi s.a.w, ditambah dengan perbincangan ulama dan kajian pakar perubatan jelas menunjukkan persoalan ini bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.


- Artikel iluvislam.com

Tuesday, June 9, 2009

Ketahuilah Masalah Perut Anda…

Perut adalah satu bahagian badan yang seringkali diabaikan. Kebanyakan kita lebih menitikberatkan kepada ‘kesedapan’ di mulut tanpa menghiraukan kesannya kepada perut. Melalui ujian ini, kita dapat mengenalpasti tahap ketahanan perut sama ada dalam keadaan baik ataupun sebaliknya.

Sebelum itu jangan lupa, sediakan pen dan kertas untuk mengira markah anda. Kali ini saya memerlukan bantuan anda untuk meninggalkan keputusan markah yang anda kira diruangan komen di bawah untuk kita kongsikan bersama.

1. Adakah perut anda pernah mengalami rasa pedih?
Tidak pernah 0 markah
1-2 kali sebulan 4 markah
1-2 kali seminggu 8 markah
3-5 kali seminggu 12 markah
6 kali ke atas seminggu 16 markah

2. Adakah anda pernah mengalami sakit atau ketidakselesaan perut?
Tidak pernah 0 markah
1-2 kali sebulan 2 markah
1-2 kali seminggu 4 markah
3-5 kali seminggu 6 markah
6 kali ke atas seminggu 8 markah

3. Adakah anda seringkali terasa perut berangin?
Tidak pernah 0 markah
1-2 kali sebulan 2 markah
1-2 kali seminggu 4 markah
3-5 kali seminggu 6 markah
6 kali ke atas seminggu 8 markah

4. Rasa ketidakselesaan pada bahagian dada (seakan sesak nafas)
Tidak pernah 0 markah
1-2 kali sebulan 4 markah
1-2 kali seminggu 8 markah
3-5 kali seminggu 12 markah
6 kali ke atas seminggu 16 markah

5. Berapa kerapkah anda mengalami masalah keradangan tekak (batuk-batuk)?
Tidak pernah 0 markah
Sekali sekala 2 markah
Sering 4 markah
Jangkamasa panjang 6 markah

6. Adakah masalah batuk anda pulih sebaik sahaja anda mendapatkan rawatan?
Kesan baik 0 markah
Kesan boleh tahan 2 markah
Biasa sahaja 4 markah
Teruk 6 markah

7. Adakah anda berasa perut berangin dan selalu mengeluarkan bau dan bunyi yang tidak menyenangkan?
Tidak pernah 0 markah
1-2 kali sebulan 2 markah
1-2 kali seminggu 4 markah
3-5 kali seminggu 6 markah
6 kali seminggu 8 markah

8. Adakah anda merokok?
Tidak pernah 0 markah
Kadang kala 2 markah
Selalu 4 markah
Jarang-jarang 6 markah

9. Kekerapan anda membuang air besar?
Tidak pernah 0 markah
Kadang kala 2 markah
Selalu 4 markah
Jarang-jarang 6 markah

10. Adakah anda makan pada masa yang tetap?
Sangat tetap 0 markah
Agak tetap 2 markah
Kadang-kadang tetap 4 markah
Tidak 6 markah

11. Apakah tindakan anda sekiranya perut tidak selesa?
Mengikut cadangan doktor 0 markah
Tidak buat apa-apa, tetapi
lebih prihatin terhadap
penjagaan perut 2 markah
Mengikut perubatan tradisional 4 markah
Mengambil sebarang ubat untuk
meredakan ketidakselesaan 6 markah

12. Adakah anda melakukan pemeriksaan kesihatan?
Sekali setahun 0 markah
Sekali dalam 2 tahun 2 markah
Sekali dalam 3 tahun 4 markah
Sekali dalam 4 tahun 6 markah

Penilaian :

0 - 8 markah - Tahniah! Perut anda SIHAT.
Perhatian : Keasidan perut andalah neutral.
Cadangan : Berikut adalah tips untuk mengekalkan cara penjagaan perut yang baik,

  1. Mengelakan makanan yang merangsangkan (terlalu pedas)
  2. Makan pada masa yang tetap
  3. Tidur yang cukup
  4. Bersenam
  5. Elakan tekanan

10 - 28 markah - Berhati-hati dengan perut anda, mungkin anda akan menghadapi sedikit masalah.
Perhatian : Keasidan perut anda berlebihan tetapi tidak melebihi lingkungan yang bahaya. Tidak memerlukan sebarang rawatan tetapi memadai dengan mengambil langkah berjaga-jaga.
Cadangan : Anda perlu mengurangkan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat seperti,

  1. Kurangkan merokok
  2. Elakkan pengambilan makanan yang tinggi keasidannya
  3. Elak daripada makan atau minum yang terlalu banyak
  4. Tidur yang tidak cukup
  5. Tidak bersenam
  6. Elakan kegelisahan/tekanan

30 markah dan ke atas - Anda mungkin menghadapi masalah berkenaan perut.
Perhatian : Tahap keasidan perut anda berada dalam lingkungan yang berbahaya. Anda perlu untuk mengawal kadar rembesan asid yang berlebihan bagi memastikan usus dapat berfungsi dengan baik.
Cadangan : Bertindak sekarang. Berjumpalah doktor untuk memastikan tahap kesihatan anda. Anda perlu menghindari daripada perkara-perkara berikut :

  1. Merokok, minuman beralkohol atau kafien
  2. Makanan yang terlalu masam atau manis, sup daging atau ayam yang terlalu banyak
  3. Tidak cukup tidur
  4. Kurang bersenam
  5. Tekanan

Sayangilah diri anda kerana diri anda adalah apa yang anda makan. Salam sihat. Jumpa lagi.

http://tips.jagakesihatan.com/2008/04/pemeriksaan-kesihatan/ketahuilah-masalah-perut-anda/